
KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memperkenankan waktu bekerja bagi penjawat awam seluruh negeri Pahang pada setiap hari Jumaat sepanjang Ramadan ini berakhir jam 12.30 tengah hari.
Baginda bertitah, keputusan itu bertujuan memberi peluang kepada penjawat awam beragama Islam untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga serta memuliakan hari Jumaat, penghulu segala hari, dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.
Titah baginda, keputusan ini turut dipersetujui dan diluluskan kerajaan negeri dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 5 Februari lalu.
“Keputusan dan kemudahan yang diberikan ini untuk memberi peluang kepada penjawat-penjawat awam memanfaatkan lebih masa bersama keluarga di bulan Ramadan, disamping memuliakan hari Jumaat, penghulu segala hari.
“Saya berharap semua akan menunaikan solat Jumaat. Jangan siapa-siapa ponteng pula,” titah baginda ketika menyempurnakan perasmian penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur kali ke-68 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan umat Islam agar menjadikan Ramadan yang bakal tiba sebagai waktu dan medan terbaik kembali kepada fitrah serta mengurangkan tumpuan kepada isi hal dunia.
“Saya juga tidak terlepas dalam menghidupkan pembacaan dan mentadabbur ayat suci al-Quran bersama-sama pegawai dan staf di Istana Abdulaziz.
“Sesungguhnya, al-Quran itu bukan sekadar dibaca tetapi difahami dan dihayati maknanya. IImu al-Quran ini wajib dipelajari secara bertalaqi, sebagaimana Rasulullah SAW sendiri diajarkan oleh malaikat Jibril,” titah baginda.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.