Tumpuan :
Nasional

Rakyat wajar sokong usaha pembangunan semula Gaza

SHAH ALAM: Rakyat Malaysia perlu berdiri teguh di belakang inisiatif negara dalam melancarkan Projek Bandar Wakaf bagi membangunkan semula Gaza selepas Ramadan nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, berkata usaha ini bukan sekadar satu bentuk bantuan kemanusiaan, tetapi juga lambang solidariti dan kepimpinan Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin di pentas global.

“Langkah ini menonjolkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang dihormati masyarakat antarabangsa, terutamanya apabila projek ini bukan sahaja membantu membina semula Gaza tetapi juga mempromosikan model wakaf yang unik dan inovatif,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap kepercayaan tinggi yang diberikan oleh pelbagai pihak, termasuk sektor korporat dan dana bebas, dalam merealisasikan usaha tersebut.

“Lebih membanggakan, dana bantuan ini datang daripada danan bebas dan sumbangan sektor korporat, yang menunjukkan kepercayaan tinggi terhadap kemampuan serta keikhlasan negara kita,” ujarnya.

Projek Bandar Wakaf itu bakal menyaksikan pembinaan Masjid Berkembar Shah Alam, Apartmen Wakaf Selangor, dan Sekolah Malaysia di Gaza, yang bukan sahaja memenuhi keperluan asas tetapi juga membawa harapan baharu kepada rakyat Palestin untuk meneruskan kehidupan pascaperang.

Menurut Syed Ahmad, inisiatif itu membuktikan bahawa Malaysia bukan sekadar mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda sokongan, tetapi mengambil tindakan nyata dalam membantu saudara seagama yang sedang bangkit daripada kehancuran.

“Kita sekarang di fasa bukan sekadar menggantung bendera Palestin, tetapi bersedia untuk membantu saudara seIslam kita yang sedang melalui proses pemulihan,” tambahnya.

Beliau juga mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan suara-suara sumbang yang cuba memperlekehkan usaha ini atas kepentingan politik sempit.

“Saya ingin mengingatkan agar kita tidak terpengaruh dengan segelintir pihak yang mungkin cemburu dengan pengiktirafan yang diterima oleh Perdana Menteri sehingga memperlekehkan usaha murni ini,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia, termasuk sektor swasta dan NGO, untuk bersama-sama menyokong projek bersejarah ini sebagai satu pelaburan demi kesejahteraan umat sejagat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini