PETALING JAYA: 10 rakyat Malaysia terperangkap di Himachal Pradesh, India yang teruk dilanda banjir, disahkan selamat dan dijangka tiba di New Delhi pada Khamis, menurut kenyataan Wisma Putra lewat malam tadi.
Sebelum ini, 12 rakyat Malaysia dilaporkan hilang di wilayah utara India, selepas keluarga mereka terputus hubungan dengan mereka.
Artikel berkaitan : 12 rakyat Malaysia hilang ketika ekspedisi Gunung Manali
Wisma Putra bagaimanapun menjelaskan, daripada 12 individu itu, sebenarnya seorang adalah warga adalah China dan seorang lagi warga British.
Wisma Putra berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dapat menghubungi salah seorang rakyat Malaysia yang terkandas dan menerima maklumat kesemua mereka selamat di bandar Manali.
“Jika pelan pemindahan berjalan lancar, kumpulan itu dijangka mengambil penerbangan pulang ke Malaysia pada hari yang sama,” kata kementerian itu.
Hujan monsun lebat telah menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa bahagian utara India, dengan Himachal Pradesh negeri yang paling teruk terjejas. – BERNAMA