KOTA BHARU: Rakyat Malaysia yang merancang untuk bercuti ke sempadan Thailand diminta mengambil langkah berjaga-jaga susulan tujuh serangan dan pengeboman di wilayah selatan pada 9 dan 10 Oktober lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, rakyat Malaysia juga perlu sentiasa peka dengan perkembangan terkini di negara berkenaan terutama di wilayah selatan yang bersempadan.
“Saya percaya ramai rakyat Malaysia akan pergi ke wilayah selatan Thailand sempena cuti Deepavali yang akan datang.
“Selain meminta mereka lebih berhati-hati, saya juga ingin menasihatkan pelancong Malaysia supaya, jika boleh, mengelakkan kawasan yang menjadi sasaran pihak yang terbabit dalam serangan,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu membaca situasi terkini membabitkan negara yang ingin mereka lawati.
“Rakyat Malaysia juga perlu mendapatkan maklumat terkini sebelum merancang bercuti ke negara berkenaan,” katanya.
Sebanyak tujuh serangan dan pengeboman yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan pemberontak di wilayah selatan Thailand dalam tempoh 24 jam bermula 9 Oktober, mengakibatkan kematian seorang anggota polis dan seorang penduduk.
Serangan terbabit mensasarkan pasukan keselamatan di wilayah Narathiwat, Yala, dan Pattani.
Ribuan rakyat Malaysia sering mengunjungi selatan Thailand terutama pada cuti sekolah dan cuti umum, biasanya melalui sempadan Kelantan, Perlis, dan Kedah.
Selain membeli-belah, pelancong Malaysia juga tertarik dengan pelbagai makanan Thailand yang dianggap lazat dan murah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.