PASIR MAS: Mulai 1 Disember depan, sesiapa sahaja yang menggunakan laluan haram Sungai Golok-Rantau Panjang untuk melintasi sempadan negara akan ditahan.
Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hamzah Ishak berkata, di Kelantan rakyat Malaysia hanya dibenarkan melalui tiga pintu sempadan negara yang diwartakan sahaja untuk melintasi sempadan Malaysia-Thailand dan sesiapa sahaja yang menggunakan laluan haram untuk ke negara jiran akan ditahan, termasuk pelajar yang bersekolah di Rantau Panjang.
“Undang-undang itu mesti terus dilaksanakan pada 1 Disember 2024, semua isu sempadan telah kita bincangkan termasuklah isu pelajar (pelajar sekolah guna pangkalan haram dari Sungai Golok bersekolah di Rantau Panjang) di bawah KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) juga dibincangkan.
“KPM telah ada strategi dan sebagainya, Insya-Allah kita kena laksanakannya demi kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri mesyuarat MKN selama tiga jam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini, hari ini.-BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.