Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
RIO DE JANEIRO: Rakyat Malaysia sama ada di dalam atau luar negara diseru untuk terus mendukung segala usaha baik yang dibuat kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan MADANI pimpinannya bersungguh-sungguh untuk membawa perubahan yang besar kepada negara.
“Saya maklumkan kerajaan kini punyai pasukan yang mantap dan akan bekerja keras melaksanakan dasar serta polisi yang menguntungkan rakyat keseluruhannya.
“Kerajaan MADANI juga tidak akan berkompromi dengan isu rasuah dan mana-mana pihak yang merobek kekayaan rakyat,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra bersama kira-kira 200 diaspora Malaysia dan rakan-rakan Malaysia termasuk delegasi, di sini.
Pada masa sama, beliau turut menyinggung siri lawatan ke beberapa negara yang memberi impak positif.
Jelasnya, ia bukan hanya mengukuhkan hubungan dua hala tetapi limpahan positif kepada ekonomi negara dan rakyat.
Anwar tiba di Rio de Janeiro pada Sabtu untuk lawatan rasmi pertamanya ke Brazil atas jemputan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva selepas menyertai Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 di Lima, Peru.
Perdana Menteri juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) sebagai negara tetamu.
Sebelum tiba di Rio de Janeiro, Anwar turut mengadakan lawatan rasmi dan lawatan kerja ke China serta Mesir.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.