KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan yang didakwa menyertai perang antara Ukraine dan Russia, dipercayai masih hidup dan berada dalam keadaan selamat.
Berdasarkan maklumat perisikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), lelaki berusia 20 tahun dan berasal dari Kedah itu sebelum ini, mengalami kecederaan selepas terkena serpihan dron tentera Russia, pada pertengahan Oktober lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, risikan yang dijalankan juga mendapati lelaki itu memohon secara dalam talian untuk menyertai tentera Ukraine dan berperang dengan tentera Russia.
“Berdasarkan risikan kita mendapati subjek (lelaki berkenaan) menyertai peperangan di Ukraine adalah kerana minatnya dalam ketenteraan dan tawaran gaji menarik antara USD400 hingga USD2,700 sebulan mengikut tahap bahaya di medan perang.
“Selain itu tekanan daripada pihak keluarga turut dipercayai adalah faktor penyebab subjek sanggup menjauhkan diri daripada keluarganya sehingga mencari pekerjaan di luar negara,” katanya kepada BH hari ini.
Razarudin berkata, semasa serangan dron Russia, lelaki itu dilaporkan cuba lari menyelamatkan diri namun kad pengenalan dan lesen memandunya tercicir manakala pasportnya masih berada bersama dengannya.
“Subjek ini menamatkan pengajiannya di peringkat A Level di sebuah kolej di Petaling Jaya, dikesan tidak memiliki sebarang akaun media sosial seperti Facebook dan Instagram kerana tidak berminat dengan aktiviti sosial.
“Sebaliknya dia lebih memberi tumpuan kepada aktiviti permainan dalam talian berbentuk peperangan dan amat berminat menjadi tentera,” katanya.
Jumaat lalu, media tempatan melaporkan bahawa polis masih menunggu maklum balas pihak Kedutaan Rusia mengenai dakwaan seorang rakyat Malaysia yang menjadi tentera upahan dalam konflik Ukraine dan Russia.
Terdahulu tular penemuan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemui di medan perang di Livadny, Zaporizhia, Ukraine.
Ada dakwaan di media sosial menyatakan kad berkenaan adalah milik rakyat Malaysia yang tidak dapat dipastikan statusnya sama ada terbunuh atau ditahan tentera Russia.
Dua dokumen diri yang masih sah itu ditemui selepas tentera Russia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.