comscore
Tumpuan :
Nasional

Rakyat Malaysia diajak boikot produk Sweden

Senator Datuk Razali Idris. – Foto FB

KUALA TERENGGANU: Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia (MSM), Datuk Razali Idris mengajak rakyat terutama umat Islam boikot barangan buatan Sweden sebagai tindak balas terhadap tindakan ahli politik sayap kanan negara itu, Rasmus Paludan membakar al-Quran di Stockhlom, Ahad lalu.

Tindakan boikot itu, katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, termasuk mengelak mengunjungi gedung jualan atau membuat pesanan pembelian barangan buatan Sweden secara dalam talian.

“Seluruh Ahli Dewan Negara juga mendesak kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas dan drastik kepada pelaku yang mencemar kitab suci umat Islam secara terang-terangan,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu, menegaskan parti berkenaan turut senada dengan kerajaan, iaitu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ahli politik Sweden terbabit.

Razali yang ditemui media selepas menyampaikan bantuan dan bakul makanan anjuran Skuad Prihatin BERSATU kepada mangsa banjir di Dungun, berkata tindakan boikot barangan Sweden perlu dilakukan seluruh rakyat, terutama umat Islam sehingga tindakan tegas ke atas Paludan diambil negara terbabit.

“Jika kerajaan Sweden gagal dan tidak mengambil tindakan, ia ibarat bersetuju dengan tindakan Islamofobia yang sewenang-wenangnya menghina umat Islam. Tindakan bakar al-Quran membangkitkan kemarahan kalangan umat Islam di seluruh dunia,” katanya.

Paludan, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, membangkitkan kemarahan dunia Islam apabila membakar al-Quran ketika menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia Paludan, sekali gus menggesa kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.

Malaysia mengecam jenayah kebencian berulang kali yang menyasarkan umat Islam di seluruh dunia, juga mahu kerajaan Sweden memastikan langkah drastik diambil pada masa depan dalam menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di negara itu.– BERITA HARIAN

Loading...
Terkini