comscore
Tumpuan :
Nasional

Rakyat Malaysia di Timur Tengah digesa berdaftar dengan kedutaan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang melawat atau menetap di rantau Timur Tengah digesa untuk mendaftar dengan Kedutaan Malaysia yang terdekat dengan kadar segera sekiranya masih belum berbuat demikian.

Wisma Putra menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, langkah itu akan memudahkan pihak kedutaan untuk memanjangkan bantuan konsular dengan segera.

“Rakyat Malaysia yang bermastautin atau melancong ke rantau tersebut dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan ikuti perkembangan terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, pihaknya sedang memantau rapi perkembangan semasa di rantau Timur Tengah.

Jelasnya, Malaysia secara berterusan menyeru kepada gencatan senjata di Gaza dan semua pihak yang terlibat perlu meredakan ketegangan supaya situasi tersebut tidak merebak.

“Mengambil kira perkembangan ini, Kerajaan Malaysia komited dalam memastikan keselamatan semua warganya terus terpelihara.

“Kerajaan Malaysia melalui Pejabat-pejabat Kedutaannya terus berhubung rapat dengan warga Malaysia yang telah berdaftar dan bantuan konsular akan disalurkan dengan segera sekiranya diperlukan,” menurut kenyataan itu.

Senarai Pejabat Kedutaan Malaysia di luar negara boleh diperoleh melalui laman sesawang Kementerian Luar di www.kln.gov.my.

Terdahulu media melaporkan, seorang pegawai tertinggi pasukan pejuang Hamas, Osma Hamdan berkata, tiada sebarang kemajuan berhubung rundingan gencatan senjata dengan Israel terhadap perang di Gaza.

Sebaliknya, Hamas masih bersedia untuk ‘berunding secara positif’ berhubung sebarang cadangan gencatan senjata yang dapat menamatkan peperangan itu.

Usaha yang dilakukan oleh pengantara negara-negara Arab dan Amerika Syarikat setakat ini gagal memuktamadkan gencatan senjata dengan kedua-dua pihak saling menyalahkan satu sama lain berhubung kemelut berkenaan.

Hamas menekankan bahawa sebarang perjanjian gencatan senjata mesti menamatkan perang dan membawa kepada pengunduran sepenuhnya Israel dari Gaza.

Israel pula menyatakan ia hanya akan menerima pemberhentian sementara dalam pertempuran sehingga Hamas, yang telah memerintah Gaza sejak 2007, dihapuskan.

Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, sejak perang Israel-Palestin yang meletus pada 7 Oktober tahun lalu, lebih 37,800 rakyat Palestin terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala lebih 86,800 yang lain cedera.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini