comscore
Tumpuan :
Nasional

Rakyat Malaysia di Lubnan digesa buat persiapan pulang segera – Wisma Putra

Oleh Fareez Azman

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia di Lubnan digesa agar membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara berkenaan secara sukarela susulan ketegangan yang berlaku di negara itu, demikian jelas Wisma Putra dalam satu kenyataan media hari ini.

Rakyat Malaysia juga dinasihatkan agar menangguhkan semua perjalanan ke Lubnan sehingga keadaan kembali stabil.

“Memandangkan keadaan yang semakin meruncing, Kementerian ini (Kementerian Luar) menggesa semua rakyat Malaysia di Lubnan supaya membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara berkenaan secara sukarela.

Warganegara Malaysia juga diminta menangguhkan semua perjalanan ke Lubnan sehingga keadaan kembali stabil,” jelas Wisma Putra.

Dalam pada itu, Malaysia juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel dalam serangan udara di Lubnan baru-baru ini yang mengakibatkan lebih 500 kematian dan mencederakan lebih 1,600 orang.

Tindakan ganas rejim zionis itu tidak seharusnya disokong masyarakat antarabangsa malah melanggar intergriti wilayah dan kedaulatan Lubnan.

“Serangan ini telah menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal dan merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

“Operasi ketenteraan Israel bukan sahaja akan meningkatkan lagi ketegangan di Lubnan dan serantau, tetapi juga menimbulkan risiko besar kepada negara jiran dan serta masyarakat antarabangsa.

“Tindakan rejim Zionis Israel memperluaskan operasi ketenteraannya ke Lubnan dan pada masa yang sama meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di hadapan mata masyarakat antarabangsa, sama sekali tidak dapat diterima. Pengabaian secara terang-terangan terhadap nyawa manusia dan norma antarabangsa ini tidak boleh diterima dan tindakan tegas perlu diambil,” jelas Wisma Putra.

Justeru, Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengambil tindakan segera dan tegas dalam menghentikan serangan kejam yang sedang berlaku di Palestin dan Lubnan bagi melindungi orang awam.

Pada masa sama, masyarakat antarabangsa juga diseru agar bertindak secara bersama dengan segera.

“Malaysia menggesa UNSC melaksanakan tanggungjawab berlandaskan piagamnya bagi menamatkan kitaran keganasan ini. Pendekatan diplomatik dan komitmen terhadap dialog adalah penting dalam memastikan keamanan yang berkekalan di rantau ini,” jelas Wisma Putra lagi.

Sekiranya mana-mana rakyat Malaysia memerlukan bantuan konsular, Kedutaan Malaysia di Beirut boleh dihubungi di:

KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI BEIRUT
Alamat: Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Republik Lubnan
Nombor telefon: +961 7677 2527, +961 7138 0063
Emel: [email protected]

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini