PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang tinggal atau berkunjung ke Georgia telah dinasihatkan agar sentiasa berwaspada susulan demonstrasi yang berterusan di Tbilisi.
Menurut Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan, rakyat Malaysia digesa supaya mengelak menyertai mana-mana perhimpunan dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan mereka.
Kementerian Luar turut menggalakkan rakyat Malaysia di Georgia untuk mendaftar dengan E-Konsular bagi mendapatkan kemas kini dan bantuan yang tepat pada masanya.
Untuk mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia di Georgia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Baku, Azerbaijan yang turut memantau situasi di Georgia.
Kedutaan itu boleh dihubungi di alamat Mustafa Kamal Ataturk Avenue, House 46, Narimanov District, AZ1069 Baku. Selain itu, kedutaan boleh dihubungi melalui talian +994 12 561 8150, +994 12 561 2732 atau +994 554 140 445 atau e-mel [email protected].
Wisma Putra memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus memantau situasi dengan teliti dan mengeluarkan maklumat terkini jika perlu.-BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.