Oleh Izzatie Rizan
PUTRAJAYA: “Palestin ketika ini berdepan pelbagai bentuk ujian termasuk berhadapan musim sejuk, bantulah dengan terus menderma kepada mereka,” demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, ketika umat Islam di Malaysia dapat menghadiri majlis Selawat Perdana, saudara seagama di Gaza terus dihujani bom tanpa henti dari rejim Israel.
“Marilah kita bela saudara di Palestin. Saudara kita terus dihujani bom. Dalam berita tadi dilaporkan bahawa lebih 4,000 saudara kita di Palestin kehilangan anggota tangan dan kaki, kini mereka sedang menghadapi musim sejuk.
“Marilah kita ummah di Malaysia, kita menderma apa saja yang boleh bagi saudara kita di Palestin, dalam menghadapi musim sejuk dan hujan peluru yang terus mendatang,” katanya ketika berucap pada Program Malam Cinta Rasul bersempena Sambutan Maulidur Rasul 2024 di sini malam ini.
Rakyat diseru menderma untuk Palestin hadapi musim sejuk – Zahid
“Palestin ketika ini berdepan pelbagai bentuk ujian termasuk berhadapan musim sejuk, bantulah dengan terus menderma kepada mereka,” demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau… pic.twitter.com/bNesbEDOxK
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 15, 2024
Dalam pada itu, beliau berkata, umat Islam di negara ini perlu terus menjadi contoh kepada masyarakat dunia sebagai ummah yang bersatu dalam mementingkan adab serta sifat terpuji dalam berkomunikasi.
“Saya ingin mengingatkan diri saya dan kita semua, di dalam menyantuni dan meraikan Sambutan Maulidur Rasul esok, ummah di Malaysia.. marilah kita pentingkan ukhuwah di kalangan kita.
“Berdakwah mesti berlandaskan kepada akhlak yang terbaik. Mungkin kita ada perbedaan pendapat. Apa pun kedudukan kita dalam komuniti dan organisasi, mesti tunjukkan adab yang terbaik,” katanya lagi.
Program Selawat Perdana dihadiri hampir 10,000 pengunjung, berlangsung di pekarangan Masjid Putra, turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.