Tumpuan :
Nasional

Rakyat asing dilapor masih beli petrol subsidi RON95 di Johor – MB

Datuk Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU: Isu penjualan petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan asing yang dilaporkan masih berlaku dan berlarutan mendapat perhatian kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri memandang serius isu penyalahgunaan subsidi RON95 itu kerana ia memberi kesan kepada bekalan untuk rakyat Johor.

Beliau berkata, isu itu antara yang dibincangkan bersama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo, semalam.

“Isu penjualan petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan luar negara masih berlaku dan jika tidak dibendung, ia akan memberi kesan kepada bekalan untuk rakyat negeri ini.

“Kerajaan Johor serius dalam memastikan hak dan kebajikan Bangsa Johor sentiasa dijaga kerana ia asas kepada visi dan misi Maju Johor 2030.

“Sehubungan itu, KPDN Johor akan meningkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan berkala selain tindakan tegas kepada pihak yang melanggar peraturan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Insiden kenderaan bernombor pendaftaran asing yang mengisi petrol bersubsidi RON95 sebelum ini dikesan terus berlaku di negeri ini dengan video dimuatnaik orang awam kerap tular kebelakangan ini.
Bulan lalu, KPDN Johor dilapor menjalankan siasatan susulan tular seorang wanita yang memandu kereta dengan plat pendaftaran Singapura mengisi minyak petrol RON95.

Lilis Saslinda dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, pada 21 Januari lalu dengan rakyat Singapura terbabit didapati menggunakan kad kredit untuk membuat pembayaran sebelum berjaya dihentikan oleh pekerja pam minyak berkenaan.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, selain isu RON95, kerajaan Johor turut memberi perhatian serius terhadap penjualan barangan kawalan dan bersubsidi, termasuk minyak paket, gula dan tepung oleh warga asing serta peniaga tidak berlesen yang masih berleluasa.

“Kerajaan Johor sudah menzahirkan kebimbangan kita berhubung isu ini kepada KPDN Johor dan mahu tindakan tegas berterusan diambil bagi memastikan yang menerima manfaat adalah rakyat negara ini dan bukannya warga asing.

“Selain itu, pemantauan harga semasa musim perayaan Melalui Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), juga mendapat perhatian kerajaan negeri.

“Kerajaan Negeri bersama KPDN Johor akan memastikan harga barangan asas seperti minyak masak dan tepung kekal terkawal supaya ia tidak membebankan rakyat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini