Tumpuan :
Nasional

Raja Salman sumbang 25 tan kurma sempena Ramadan

Oleh: Mior Azlan Mior Kamarulbaid

KUALA LUMPUR: Malaysia menerima sumbangan 25 tan buah kurma daripada Kerajaan Arab Saudi untuk dibahagikan kepada umat Islam di negara ini sempena bulan Ramadan.

Sumbangan berkenaan atas kemurahan hati Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Tanah Suci, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud bagi memperkukuh ukhuwah Islamiyyah dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Penyerahan sumbangan disempurnakan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al-Sulaim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar di Pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut Datuk Mohd Na’im, Malaysia bertuah kerana sentiasa mendapat ruang dan dipilih oleh kerajaan Arab Saudi dalam program agihan kurma itu yang akan diagihkan ke masjid dan surau di seluruh negara.

“Kerajaan Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud dan sentiasa mendoakan agar baginda sentiasa diberikan kesihatan berpanjangan serta keberkatan daripada Allah SWT.

“Diharapkan sumbangan dapat diadakan secara berterusan untuk rakyat negara ini,” katanya kepada media.

Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al-Sulaim pula berkata, sumbangan itu bukan sekadar pemberian material tetapi merupakan satu mesej solidariti daripada Kerajaan Arab Saudi kepada rakyat Malaysia.

“la bertepatan dengan kedatangan Ramadan yang mulia, selain menegaskan nilai rohani dan persaudaraan yang diwakili oleh bulan rahmat, kebaikan dan keberkatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini