Tumpuan :
Nasional

Raja Rozela bersara awal, Dusuki ketua pendakwaan baharu kes rasuah Zahid

Datuk Raja Rozela Raja Toran & Datuk Mohd Dusuki Mokhtar

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Datuk Raja Rozela Raja Toran disahkan tidak lagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan rasuah dihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana memohon untuk bercuti sebelum bersara awal mulai 30 Ogos ini.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menjelaskan, Timbalan Pendakwa Raya itu mengemukakan permohonan untuk bersara awal pada 3 April lalu dan  telah diluluskan dan berkuat kuasa pada 1 November ini.

“Susulan daripada laporan media berkenaan ketua pasukan pendakwaan melibatkan Ahmad Zahid telah digantikan baru-baru ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa keputusan untuk menggantikan Raja Rozela sebagai ketua pasukan pendakwaan dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor dan dengan membuat pertimbangan yang teliti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Raja Rozela mengetuai pendakwaan terhadap Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bagaimanapun, perbicaraan yang bersambung minggu lalu dilaporkan diteruskan tanpa kehadiran Raja Rozela.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun

Idrus berkata, Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, AGC, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dipilih sebagai ketua pasukan pendakwaan  yang baharu bagi kes itu.

Ia berdasarkan pengalaman luas hampir 30 tahun beliau sebagai seorang Timbalan Pendakwa Raya dan mengendalikan kes Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan serta kes berprofil tinggi termasuk kes pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

“Memandangkan kes melibatkan Ahmad Zahid masih berlangsung dan tarikh-tarikh perbicaraan telah ditetapkan sehingga Disember ini, maka seorang ketua pasukan yang baharu perlu dilantik dari sekarang bagi memastikan kesinambungan kes pendakwaan melibatkan Ahmad Zahid,” katanya.

Jelasnya, keputusan berkenaan dibuat dengan teliti bagi memastikan kes pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak terjejas, selain memastikan AGC dapat menegakkan keadilan selaras bidang kuasa Peguam Negara diperuntukkan mengikut Fasal 3 Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 70, didakwa menggunakan dana yayasan berkenaan untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, memindahkan wang ke firma guaman dan membuat sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Loading...
Terkini