KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyertai masyarakat antarabangsa menggesa gencatan senjata di Gaza.
Baginda bertitah, pemimpin dunia perlu secara kolektif mendesak penamatan segera konflik di Palestin.
Berucap pada sidang kemuncak ‘United for Peace in Palestine’ di Istanbul hari ini, baginda merayu pemimpin dunia mendesak perang dihentikan, senada dengan ratusan ribu rakyat yang menyokong gencatan senjata di Gaza.
“Mereka datang dari semua lapisan masyarakat, mengamalkan agama berbeza dan bertutur bahasa berlainan namun mereka memiliki satu suara mahukan keamanan, hidup dalam harmoni dan saling menghormati.
“Beta berdiri di sini bukan sahaja sebagai Permaisuri, tetapi sebagai ibu, anak-anak yang amat disayangi. Beta berdiri di sini sebagai manusia dan kita mesti tegas bersuara supaya semua ini dihentikan,” titah baginda.
Sidang kemuncak itu diilhamkan Wanita Pertama Turkiye, Emine Erdogan dan dihadiri pasangan ketua negara dan kerajaan serta wakil negara.
Raja Permaisuri mengakui tidak boleh berdiam dengan pencabulan hak asasi manusia yang dahsyat di Gaza dan melahirkan kebimbangan baginda terhadap rakyat Gaza, keselamatan kanak-kanak dan kemanusiaan.
Titah baginda, gencatan senjata membolehkan organisasi kemanusiaan menghantar bekalan penting, manakala kumpulan tempatan boleh menyediakan perkhidmatan kecemasan.
“Semua ini diperlu untuk menyelamatkan rakyat yang menderita. Kita mesti menggesa pembukaan kekal koridor kemanusiaan ke Gaza supaya bantuan dapat disalurkan,” titah baginda.
Raja Permaisuri bertitah, penduduk di negara yang dilanda peperangan, kesusahan dan konflik, berhak hidup dengan aman.
“Beta dengan rendah hati bercakap untuk setiap seorang daripada mereka dan sebagai seorang Muslim, harus diingat adalah menjadi kewajipan kita sebagai manusia untuk menuntut penamatan semua permusuhan”, titah baginda.
Pada sidang kemuncak di Istana Dolmabahce itu, pasangan ketua negara dan kerajaan serta wakil negara diberi 10 minit untuk menyampaikan kenyataan.