Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyempurnakan edisi ke-12 FLORIA Diraja Putrajaya 2022 di Presint 4, di sini, hari ini.
FLORIA Diraja Putrajaya 2022 kembali membuka tirainya bermula hari ini sehingga 4 September depan, setelah lebih dua tahun ditangguh berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Tunku Azizah bertitah bahawa baginda memang menyukai bunga-bungaan dan turut meluangkan masa berkebun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.
“Beta memang suka bunga dan tanam sayur, ketika dua tahun ‘dikunci’ di istana, beta bersama dengan warga Istana Negara sempat berkebun dan tanam sayur di belakang istana.
“Sehingga kini, kebun itu masih ada tetapi disebabkan kesibukan kini kami semua sudah kurang ke kebun.
“Banyak hasil yang kami dapat seperti timun, kangkung, bayam, bayam brazil, kacang botor dan jagung,” titahnya sebelum Baginda merasmikan Floria Diraja Putrajaya.
Seri Paduka dalam titahnya sempat bergurau kepada warga Istana Negara untuk kembali berkebun di istana.
“Kita kena kembali ke Istana untuk berkebun dan mungkin akan tanam pokok bunga pula,” titahnya.
Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud.
Dalam majlis sama, Raja Permaisuri Agong turut menerima spesis Orkid Philonopsis dari PPj.
Bertemakan ‘FLORIA HEBAT’ atau ‘Awesome FLORIA’ dengan orkid sebagai bunga tema, edisi terkini Festival Bunga dan Taman menghimpunkan kira-kira 10,000 pokok orkid yang dipamerkan dengan lebih daripada 400,000 pokok daripada pelbagai spesis dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan.
FLORIA Diraja Putrajaya turut memberi penghormatan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menjaga kesihatan rakyat semasa menghadapi pandemik menerusi pameran ‘Masterpiece: Tribute to Frontliners’.
Festival ini turut mengambil kira sambutan Jubli Perak Putrajaya yang ke-25 tahun serta sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Sementara itu, Datuk Seri Shahidan dalam ucapannya berkata, FLORIA kini berperanan sebagai landasan atau platform bagi ‘networking’ dalam kalangan pengusaha, pengimpot serta mereka yang menceburi bidang pertanian dan hortikultur setelah 11 kali penganjurannya.
“Pada masa ini, festival bunga dan taman serta landskap yang berkualiti merupakan satu produk ekonomi yang menjadi penyumbang penting kepada sektor pelancongan negara.
“Ia boleh mencetuskan pelbagai peluang perniagaan dan perkhidmatan yang luas meliputi bidang-bidang semaian komersil; bekalan bahan tanaman bunga dan hiasan; perundingan dan penyenggaraan landskap; perkebunan; bekalan jentera dan peralatan perkebunan; sewaan pokok bunga, hiasan bunga, perundingan persekitaran, pemuliharaan sumber alam dan eko-pelancongan,” katanya.
Menurutnya, penganjuran FLORIA Diraja Putrajaya setiap tahun dapat menyumbang kepada peningkatan potensi industri bunga- bungaan, landskap dan pelancongan sebagai satu daripada bidang ekonomi utama negara (NKEA) dan seterusnya memacu perkembangan industri ini sebagai satu alternatif pelaburan yang menguntungkan negara serta rakyatnya.
“FLORIA Diraja Putrajaya adalah satu-satunya festival bunga dan taman di Malaysia yang menyediakan pakej pameran bunga serta pelbagai aktiviti sinonim dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’.
“Ia dapat menghimpun Rakyat Malaysia dari pelbagai peringkat, budaya, kepercayaan dan
kaum untuk turut serta dalam lebih 100 program dan aktiviti yang disediakan sepanjang tujuh hari festival ini berlangsung.
“Festival ini bertujuan untuk memupuk dan menyuburkan rasa cinta dan kasih rakyat serta pelawat kepada keindahan pelbagai warna bunga dan tumbuhan yang banyak berkaitan dengan kebudayaan dan nilai-nilai masyarakat Malaysia.
“Ia sekaligus membudayakan aktiviti landskap dan perkebunan sebagai satu gaya hidup sihat dan sejahtera,” katanya.