comscore
Tumpuan :
Nasional

Raja Muda Selangor sertai kayuhan 25 tahun UiTM

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berkayuh dari Kampus Puncak Alam hingga ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam sebagai acara penutupan bagi Program Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan (Semenanjung) sempena sambutan 25 tahun UiTM sebagai sebuah universiti. Foto UiTM

SHAH ALAM: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berkayuh dari Kampus Puncak Alam hingga ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam sebagai acara penutupan bagi Program Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan (Semenanjung) sempena sambutan 25 tahun UiTM sebagai sebuah universiti.

Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin @ Sahib Sahibuddin berkata, Tengku Amir Shah diiringi 12 warga UiTM yang mengambil bahagian dalam kayuhan dengan jarak keseluruhan 2,000 km mengelilingi Semenanjung Malaysia terdiri daripada staf akademik dan pentadbiran serta empat pelajar.

“Sebagai makluman, 12 peserta Kayuhan Kapsul 25 Tahun yang berkayuh bersama Raja Muda Selangor dari UiTM Puncak Alam itu sudah berkayuh sejak 20 Jun lalu merentasi UiTM kampus cawangan setiap negeri di Semenanjung Malaysia.

“Kampus cawangan itu membabitkan Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Alor Gajah (Melaka), Segamat (Johor), Jengka (Pahang), Dungun (Terengganu), Machang (Kelantan), Arau (Perlis), Sungai Petani (Kedah), Permatang Pauh (Pulau Pinang), Seri Iskandar (Perak) seterusnya Puncak Alam dan berakhir di UiTM Shah Alam.

 

“Lebih istimewa, Pengarah Kanan UiTM kampus cawangan Permatang Pauh, Norlizan Wahid, srikandi wanita tunggal dalam kayuhan ini, menunjukkan semangat juang dan ketabahan yang luar biasa, mewakili wanita UiTM dalam misi penuh inspirasi ini,” katanya kepada media selepas penutupan Kayuhan 25 tahun UiTM itu di Dewan Agung Tuanku Canselor, di sini hari ini.

Jelas beliau, simbolik Kayuhan Kapsul 25 Tahun berkenaan adalah membawa kapsul yang mengandungi hasrat serta harapan setiap kampus UiTM.

“Kapsul ini akan disimpan di monumen yang bakal dibina dan dilancarkan sempena sambutan Malam Gala 25 Tahun UiTM pada 24 Ogos 2024.

“Monumen ini akan menjadi tanda peringatan kepada generasi akan datang, mengabadikan aspirasi dan impian seluruh warga UiTM,” katanya.

Beliau berkata, kayuhan itu turut berkolaborasi dengan Program Kayuhan MAIPs Peduli bersama Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Semasa kayuhan di sekitar Kampus Arau, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan peserta Kayuhan Kapsul 25 Tahun mengambil peluang untuk singgah di rumah asnaf bagi menyampaikan bantuan,” katanya.

Mengulas kebolehpasaran pelajar UiTM ke dunia pekerjaan menjelang 25 tahun ini, Shahrin berkata kini sudah mencecah 89.4 peratus menjadi pencapaian terbesar UiTM sejak diiktiraf sebagai sebuah universiti sejak 25 tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini