comscore
Tumpuan :
Nasional

Raja Muda Selangor berkenan sambut Maulidur Rasul di Masjid Negeri

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

SHAH ALAM: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyertai Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023M peringkat negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah@Masjid Negeri di sini, hari ini.

Majlis yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu turut dihadiri kira-kira 500 tetamu dan dif jemputan.

Turut hadir Exco Agama Islam dan Pembudayaan Selangor Dr. Mohammad Fahmi Ngah dan Datuk Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Sahibus Samahah.

Dalam majlis berkenaan, Tengku Amir Shah turut berkenan melancarkan Sistem MyRadha’ah yang merupakan sistem pendaftaran ibu dan anak susuan secara aras talian.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Haris Kasim, pada 19 November 2018, JAIS telah menjadi negeri pertama di Malaysia yang melancarkan perkhidmatan pendaftaran ibu dan anak susuan secara manual melalui Kad MyRadha’ah.

“JAIS telah menerima respon yang baik sehingga menjadi rujukan Jabatan Agama Islam Negeri yang lain seperti Sarawak, Kedah, Negeri Sembilan dan Terengganu yang telah mengadakan lawatan penanda aras ke JAIS, “ katanya pada majlis sambutan berkenaan.

Jelasnya, seiring perkembangan semasa, inisiatif berkenaan berjaya dikembangkan menjadi sebuah sistem yang ditambah baik demi membantu masyarakat secara efisyen, mesra dan bersistematik dari semasa ke semasa.

Sementara itu, sambutan juga diserikan dengan alunan berzanji dan selawat serta sesi perkongsian ilmu melalui ceramah sirah memperingati dan menghayati kisah baginda Nabi Muhammad SAW.

Ceramah disampaikan Ustaz Pahrol Juoi bertajuk Rasullullah: Ikon Kepimpinan Integriti Dan Kepimpinan Negara Bertamadun, menjadikan  semangat kepimpinan baginda sebagai teladan dalam ummah.

Loading...
Terkini