comscore
Tumpuan :
Nasional

Raja Muda Selangor berkenan lawat tapak pembinaan Menara Merdeka 118

FOTO: Ihsan Selangor Royal Office.

SHAH ALAM: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan melawat tapak pembinaan bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di dunia, Menara Merdeka 118 yang hampir siap di pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan Selangor Royal Office, baginda menzahirkan rasa teruja dan kagum dengan kaedah pembangunan menara dengan ketinggian 678.9 meter itu.

FOTO: Ihsan Selangor Royal Office.

“Ini khususnya penelitian kepada usaha-usaha memulihara dan restorasi tapak bersejarah Stadium Merdeka, di samping mengadaptasi pembangunan eleman moden, kemapanan dan mesra alam.

“Lawatan baginda diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif, PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd., Tengku Datuk Ab. Aziz Tengku Mahmud dan Ketua Pegawai Pelaburan, Pelaburan Swasta dan Strategik Permodalan Nasional Bhd (PNB), Rizal Rickman Ramli.

“Baginda turut dibawa melawat ke tingkat 116, yang bakal menjadi dek observasi tertinggi di Asia Tenggara dan juga ke tapak restorasi Stadium Merdeka,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sebagai pemilik tunggal Stadium Merdeka dan Stadium Negara katanya, PNB mengambil inisiatif untuk mengekalkan kedua-dua stadium ini.

FOTO: Ihsan Selangor Royal Office.

“Dengan kerjasama Badan Warisan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara (JWN), PNB turut melaksanakan kerja pemuliharaan untuk mengembalikan Stadium Merdeka kepada keadaan asalnya seperti pada tahun 1957.

“Menara Merdeka 118 akan menjadi bangunan pertama di Malaysia yang mempunyai tiga akreditasi bangunan platinum hijau di peringkat tempatan dan antarabangsa, iaitu Indeks Bangunan Hijau (GBI), Hartanah Hijau (GreenRE) dan Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED),” katanya.

Loading...
Terkini