Tumpuan :
Nasional

Raja Kemboja terima menghadap PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenan menghadap Raja Kemboja Raja Norodom Sihamoni di Istana Diraja Kemboja sempena lawatan rasmi sulung beliau ke Kemboja, hari ini. -FOTO: Anwar Ibrahim/Facebook

KUALA LUMPUR: Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Diraja Kemboja sempena lawatan rasmi sulungnya ke negara itu.

Anwar menerusi hantaran di Facebook malam ini memaklumkan, beliau telah menyampaikan hasrat kerajaan Malaysia untuk terus memperkukuhkan jalinan hubungan kedua-dua negara yang terjalin sejak 66 tahun lepas, pada sesi itu.

Perdana Menteri turut mengadakan kunjungan ke atas Presiden Senat Kemboja, Say Chhum dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja, Heng Samrin dan bertukar-tukar pandangan.

“Dalam kepadatan jadual, saya sempat menyantuni diaspora Malaysia dalam satu majlis di Kedutaan Malaysia di Phnom Penh selain menyampaikan hasrat kerajaan agar kebersamaan dan kesepaduan terus dituntut meski berada di luar negara,” katanya.

Anwar hari ini tiba di Kemboja untuk lawatan rasmi sehari bagi memperkukuh lagi hubungan dan kerjasama dua hala yang terjalin antara Malaysia dan negara itu sejak 1957.

Lawatan rasmi dan sulung Perdana Menteri ke negara itu adalah atas undangan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen. – BERNAMA

Loading...
Terkini