![](https://media.buletintv3.my/2023/05/RAJA-ARSHAD.jpg)
KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pelantikan Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda sebagai pengerusi kumpulan berkuat kuasa 1 Jun 2023.
Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Tun Arifin Zakaria yang bersara pada 6 Mei 2023.
Dalam satu kenyataan, PNB berkata Raja Tan Sri Arshad ialah Pengerusi Ekuiti Nasional Bhd, Icon Offshore Bhd dan Bumi Armada Bhd.
Beliau merupakan bekas Pengarah Maxis Bhd dan Khazanah Nasional Bhd serta pernah menjadi Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia dan Pengerusi Pasukan Kepimpinan PwC Asia 7.
“Semasa krisis kewangan Asia 1997, Raja Arshad dilantik sebagai Pengerusi Danamodal Nasional Berhad, salah satu daripada tiga syarikat bertujuan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menguruskan krisis,” kata PNB.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Ahmad Zulqarnain Onn berkata lembaga pengarah dan warga PNB mengalu-alukan Raja Tan Sri Arshad ke lembaga pengarah dengan pengalaman luasnya dalam pengawasan syarikat dan institusi.