Oleh Fahiz Ariff
KUALA LUMPUR: Mashaf Al-Quran Braille menjadi sinar kepada golongan kurang upaya (OKU) penglihatan mengalunkan ayat suci Al-Quran dengan baik.
Tanpanya pasti sukar untuk golongan itu meningkatkan kebolehan dan kelancaran membaca Al-Quran.
Namun, apakah cabaran utama yang perlu ditempuhi mereka?
Pengurus Operasi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Zamzuri Ghani, 48, percaya cabaran utama memahirkan diri membaca Al-Quran bertulisan braille adalah mengenal huruf.
Menurutnya, hal itu hanya dapat dibezakan menerusi kecekapan deria rasa jari pada titik-titik tulisan yang disentuh.
“Setakat ini ramai yang boleh baca al-Quran, tetapi apabila menyentuh aspek kecekapan dan kelajuan membaca ia adalah perkara pokok yang perlu diberi perhatian sebenarnya.
“Ada individu mengambil masa setahun, dua tahun, dan ada yang saya ajar tu sampai sekarang dia masih merangkak lagi. Jadi, itulah kesukarannya,” jelasnya ketika ditemui.
Mengulas lanjut mengenai cabaran, dia mengakui hanya usaha yang membezakan kemampuan seseorang itu dalam menempuhi sesuatu ‘halangan’.
“Kalau orang yang buta pun boleh baca al-Quran dan kalau anda semua yang celik tak boleh baca al-Quran, maknanya anda paling rugi sebenarnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Qariah, Noorhidayah Mohd Yusoff, 29, yang merupakan OKU penglihatan kategori B2 iaitu boleh melihat dengan jarak yang sangat terhad mengakui, naskah agung itu lebih menarik untuk dibaca dalam versi braille, meskipun boleh membacanya dalam versi ‘celik’.
“Pada saya braille lah ‘best’ sebab kita boleh baca dalam pelbagai keadaan, Contohnya dalam gelap atau dalam cerah pun kita boleh baca”, kongsinya.
Bagi menyantuni OKU, inovasi terkini penerbitan Mashaf Al-Quran Braille telah mendapat perakuan Kementerian Dalam Negeri, Sekitar 1998.
Inovasi itu telah memenuhi keperluan lebih 25,000 OKU penglihatan di negara ini untuk membacanya selari dengan Mashaf al-Quran Rasm Uthmani.
Malah, kehadirannya telah memberi peluang kepada mereka untuk mendampingi dan mengkaji isi kandungan serta pengajaran Al-Quran dengan mudah dan terperinci terutamanya di bulan Ramadan.