IPOH: Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengesahkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam keadaan stabil selepas menghidap penyakit jantung baru-baru ini.
Ahli Parlimen Pandan itu dilaporkan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mengalami serangan jantung.
Difahamkan juga, Rafizi berada di bawah pemerhatian doktor selepas menjalani prosedur pembedahan sten jantung.
“Alhamdulillah, dua hari lalu saya dimaklumkan beliau semakin sihat dan insya-Allah tidak lama lagi beliau dapat melaksanakan tugasnya.
“Kita doakan yang terbaik untuk beliau,” jawabnya ringkas pada sidang media selepas menghadiri Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) Zon Semenanjung di ILKKM Sultan Azlan Shah, hari ini.