KUALA LUMPUR: Gara-gara terdesak mementaskan acara, vokalis kumpulan OAG, Radhi mendedahkan terpaksa meminjam RM50,000 daripada ah long.
Semuanya demi merealisasikan Konsert OAG 30 Tahun Generasiku di Stadium Malawati, Shah Alam, Disember, tahun lalu.
Radhi atau nama sebenar, Muhammad Radhi Razali, 46, berkata, keadaan menjadi genting apabila pada hari konsert berlangsung, iaitu jam 3 petang, pentas masih belum siap berikutan masalah bajet.
”Pada jam 3 petang hari konsert itu berlangsung, pentas belum siap kerana kami tiada duit. Jadi, kami ambil keputusan pinjam daripada ah long walaupun tahu ia bukanlah idea baik.
“Kami terpaksa pinjam ah long kerana mahu teruskan konsert. Pada hari itu juga, ah long datang dari Pulau Pinang dan bawa wang sebanyak RM50,000.
“Wang itulah digunakan untuk membina set di pentas dan persiapan lain konsert. Kalau tidak, memang tidak akan berlaku apa-apa pada malam itu,” katanya pada sesi tayangan khas filem underground, urban dan indie berjudul Pekik di Pawagam Mini P Ramlee, Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Hulu Klang, baru-baru ini.
Radhi berkata, disebabkan masa terhad dan pelbagai masalah lain, tiket konsert yang dipentaskan bagi meraikan ulang tahun ke-30 OAG itu kebanyakannya terpaksa diberi percuma.
“Sejujurnya, kami tidak mahu teruskan konsert itu kerana kesuntukan masa. Ini ditambah pula dengan beberapa masalah lain seperti kos penganjuran.
“Namun, disebabkan peminat, kami teruskannya. Ramai ingat tiket itu habis terjual, sebaliknya, banyak yang diberi percuma.
“Kalau diikutkan boleh sahaja untuk jual semuanya, tetapi masa sangat terhad,” katanya.
Sementara itu, Radhi menganggap kerencaman masalah sebelum penganjuran konsert menjadi punca pemain dram, Qi Razali mengambil keputusan meninggalkan kumpulan itu.
Bagaimanapun, Radhi menjelaskan tidak berlaku persengketaan dan pada sama sama, keputusan dibuat Qi dihormati.
“Sebenarnya, tiada apa pun yang berlaku antara kami dan Qi. Bagi saya, apa yang terjadi disebabkan hal peribadi sahaja.
“Kami sama sekali tidak bergaduh dengan Qi. Malah, baru berjumpa beberapa hari lalu. Cuma, keputusan Qi untuk berundur mungkin dipengaruhi proses mementaskan konsert berkenaan.
“Bayangkan, promosi untuk konsert dibuat dua bulan sahaja ditambah pula dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika itu, jadi, tiket tidak terjual.
“Walaupun pada mulanya, Qi fikir konsert itu boleh berjaya, namun, akhirnya, tidak mencapai seperti apa yang dimahukan,” katanya.
Awal tahun ini, Qi dilaporkan mengambil keputusan meninggalkan kumpulan OAG selepas 30 tahun bersama dengan memuat naik video di Instagram (IG).
Qi yang juga pelakon dan pengacara dilapor menjelaskan keputusan meninggalkan OAG bukan disebabkan percakaran atau perselisihan faham dengan anggota band terbabit.