Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
PETALING JAYA: Hasil bedah siasat ke atas bayi berusia 2 bulan yang meninggal di sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara mendapati mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas.
Menurut ibu mangsa, Maisarah Rosli, punca kematian itu dilaporkan menerusi laporan hasil bedah siasat daripada Pakar Perubatan Forensik di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Jumaat.
“Sesungguhnya jangkaan awal kami adalah benar, punca kematian disebabkan oleh sesak nafas berdasarkan rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang memaparkan Qaseh Aulia diletakkan dalam posisi meniarap dalam keadaan dibedung.
“Kami juga percaya, berdasarkan rakaman CCTV, terdapat unsur kecuaian oleh pengasuh kerana meletakkan bayi kami dalam posisi meniarap dengan keadaan bayi dibedung serta tiada pemantauan dan pengawasan untuk lebih satu jam sehingga menyebabkan bayi meninggal dunia,” menurut Maisarah dalam kenyataannya hari ini.
Jelasnya juga, pihaknya akan terus berusaha untuk mencari keadilan ke atas kematian bayinya dan tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan khidmat guaman dalam memperjuangkan keadilan ini.
“Semoga kematian bayi kami dapat keadilan sewajarnya dan kami akan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan bersedia untuk memberi kerjasama dalam proses bagi mendapatkan keadilan sewajarnya.
“Ucapan terima kasih juga kepada PDRM, JKM dan PPUM yang memberikan komitmen tinggi dalam kes ini,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Qaseh Aulia Faizul dilaporkan meninggal dunia di sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara pada 10 Oktober lalu.
Bayi yang berusia dua bulan 25 hari ketika dihantar pada hari keduanya di taska telah menjalani proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan selamat dikebumikan pada hari berikutnya.
Susulan kematian, PDRM juga telah menahan pengasuh warga asing bagi merakam percakapan dan dibebas dengan jaminan polis.
JKM turut menyita taska berkenaan kerana dilaporkan tidak berdaftar bersama jabatan itu.