
Oleh : Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Qari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dan qariah Maghribi, Sara Belmamoun masing-masing diumum johan tilawah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 malam ini.
Pada majlis yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia WTC itu, Muhammad Qayyim memperoleh markah 94.96 peratus, manakala Sara meraih 93.05 peratus, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai dan piala.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan hadiah kategori qari, manakala hadiah kategori qariah dikurniakan Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut hadir pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Bertemakan “Perpaduan Teras Perpaduan” majlis itu berlangsung selama enam hari bermula Ahad lalu, membabitkan seramai 76 orang peserta daripada 52 buah negara.
Ia membabitkan peserta tilawah seramai 36 orang; 24 lelaki dan 12 perempuan daripada 27 buah negara dan peserta hafazan seramai 40 orang melibatkan 27 lelaki serta 13 perempuan daripada 30 buah negara.
Artikel berkaitan : Rahsia celik hati OKU penglihatan hayati Al-Quran