comscore
Tumpuan :
Nasional

Qari dan qariah Malaysia johan Tilawah al-Quran Antarabangsa ke-64

Oleh: Ain Shafiqah Zaki

KUALA LUMPUR: Qari Malaysia, Muhammad Husaini Mahmur dan qariah Malaysia, Nor Hidayah Abdul Rahman masing-masing dinobat selaku johan tilawah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64, malam ini.

Muhammad Husaini memperoleh 95.71 peratus, manakala Nor Hidayah meraih 91.76 peratus, sekali gus membawa pulang kepingan emas bernilai RM12,000 dan wang tunai RM40,000 setiap seorang.

Sementara itu, naib johan disandang oleh qari dari Pakistan, Abdur Rasheed dengan markah 93.59 peratus dan tempat ketiga qari Indonesia, Wahyu Andi Saputra (92.09 peratus).

Raihana Ambangala dari Filipina pula muncul naib johan qariah dengan markah 90.26 peratus dan tempat ketiga qariah Indonesia, Syamimi Assahira (89.46 peratus), juga membawa pulang hadiah wang tunai dan piala.

Bagi kategori hafazan lelaki, Oubaydullah Boubacar Ango dari Niger muncul johan dengan markah 97.36 peratus, diikuti Ibrahim Sow dari Ivory Coast dengan markah 97 peratus dan tempat ketiga Aiemiddin Farkhudinov dari Rusia (96.88 peratus).

Satu lagi wakil Niger, Habsatou Hamissou Boubacar pula muncul johan bagi kategori hafazan wanita dengan markah 96.13 peratus, tempat kedua Putri Aminah Mohd Hafiz dari Malaysia (94.89 peratus) dan ketiga Fathimath Shaya Zahir dari Maldives (94.38 peratus).

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis itu yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”, majlis itu berlangsung selama lapan hari bermula Sabtu lalu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini