comscore
Tumpuan :
Nasional

Pyanhabib seniman yang istimewa & berbakat besar – Rakan artis

Imuda, Rakan Artis

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Pemergian penyair dan pelakon, Allahyarham Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, atau lebih dikenali Pyanhabib diibaratkan kehilangan besar buat negara.

Seniman negara itu menghembuskan nafas terakhirnya malam tadi akibat sakit tua di kediaman keluarganya.

Menurut pelakon, pelawak dan kartunis Abdul Rahim Muda atau Imuda, Pyanhabib disifatkan seorang sahabat yang baik hati dan suka mengambil berat.

“Saya dengan dia macam abang dan adik. Sangat rapat…saya baharu tahu semalam jadi berasa kehilangan sebab saya lama tidak jumpa dia.”

“Banyak kenangan manis susah senang bersama. Di awal kerjaya dulu kami pernah makan roti canai belah dua di Central Market (Pasar Seni) dan sama-sama mengasah bakat menjadi pemain teater yang baik.”

“Malah waktu beliau kahwin pun saya jadi pengapit. Saya kahwin dia jadi pengapit, begitulah akrabnya kami,” ujarnya sebak ketika ditemui di kediaman Allahyarham.

Dalam pada itu, penyanyi dan pencipta lagu Datuk M. Nasir berkata Allahyarham merupakan seniman yang unik, istimewa dan pemergian sahabatnya itu merupakan kehilangan besar buat industri seni negara.

Datuk M. Nasir,Rakan Artis

“Tiada orang lagi macam dia … sajak terkenalnya bertajuk ’Suara’, itulah mencerminkan sikapnya sehingga hari ini,” katanya.​​​​​​

Vokalis kumpulan legenda Blues Gang, Ito Mohd turut berkongsi kesedihan atas pemergian Pyanhabib yang dianggapnya sebagai seorang seniman berbakat besar.

“Arwah sepatutnya bersama dengan kami lusa bagi program Kopi, Lagu dan Puisi di Bukit Malawati, Kuala Selangor, tapi dia telah pergi dulu,” katanya.

Bagi Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said beliau amat terkesan atas kehilangan sahabat sejak awal menceburi dunia kesasteraan.

Datuk Seri A Samad Said, Sasterawan Negara

“Saya harap dia dikenang selalu. Memang ada acara sastera berlanjutan jadi saya harap sangat dalam acara sedemikian dia akan diingati,” ujarnya kepada pemberita.

Sementara itu, pelakon Datuk Ahmad Tarmimi Siregar menyifatkan arwah seorang yang gigih dan sentiasa komited dengan tugasannya.

Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Rakan artis

“Keistimewaan arwah walaupun dia tidak mempunyai deria dengar yang mula rosak sejak usianya 10 tahun apabila menghidap demam panas, tetapi dia masih ingat lagi bagaimana bertutur cuma yang tiada pada dia adalah bagaimana dia mendengar suaranya.”

“Kalau dalam bidang lakonan, dia boleh menghafal skrip dan membaca bibir kita untuk ‘que’ ketika masuk dialog dia, itu kehebatan dia,” jelasnya.

Jenazah Pyanhabib dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lembah Keramat, AU4, di sini pada 11.30 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan isteri Zurina Zakaria, 58, serta dua anak Najihah, 31, dan Ahmad Ashman Farabi, 28.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini