Tumpuan :
Nasional

Putrajaya pusat sehenti jualan juadah buka puasa 

PUTRAJAYA: Lebih 1,000 jenis menu juadah berbuka puasa daripada 700 peniaga dihimpunkan di lima lokasi bazar sekitar Putrajaya.

Itu antara satu daripada enam komponen yang diketengahkan sempena penganjuran Festival Ramadan Putrajaya (FRP2024).

Perbadanan Putrajaya (PPj) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, enam komponen itu adalah Bazar Ramadan Putrajaya, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar, Laman Berbuka Puasa, Food Truck Ramadan dan Pentas Utama FRP2024.

“Komponen utama FRP2024 iaitu Bazar Ramadan Putrajaya diadakan di lima lokasi iaitu Presint 3 (285 tapak), Presint 9(50 tapak), Presint 11(100 tapak), Presint 14 (135 tapak) dan Presint 16 (120 tapak).

“Bazar beroperasi bermula sejak semalam sehingga 9 April ini dari jam 3 petang hingga 8 malam,” menurut kenyataan itu.

Komponen kedua iaitu Anjung Syawal adalah antara bazar menjual barangan persiapan Aidilfitri terbesar di Lembah Klang membabitkan lebih 250 peniaga.

Mengulas lanjut, menurut PPj, bertemakan ‘Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran’, FRP2024 bermatlamat menjadikan Putrajaya sebagai sebagai pusat sehenti menjual juadah berbuka puasa dan barangan keperluan menyambut hari raya.

“Komponen ketiga adalah Kiblat Walk dan Laman Iftar yang menyediakan 20 lot niaga juadah berbuka puasa, kemudahan kerusi meja berkonsep kafe luaran di pekarangan Kompleks PPj. Suasana santai ini telah menjadi tarikan pengunjung berbuka puasa bersama famili dan rakan-rakan,” menurut kenyataan itu.

Komponen seterusnya adalah Laman Berbuka Puasa iaitu lokasi ikonik berbuka puasa yang terletak di kawasan padang rumput berhadapan Kompleks PPj.

Food Truck Ramadan pula merupakan komponen yang menawarkan pilihan kepada pengunjung yang berkunjung ke Anjung Syawal untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.

Sementara itu, komponen keenam adalah pengisian kerohanian sepanjang 30 hari Ramadan di Pentas Utama FRP2024 seperti tazkirah muzikal serta penampilan selebriti hijrah dan pendakwah, selain Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Putrajaya dan Program Nur Ramadan iaitu sumbangan wang tunai kepada golongan asnaf.

“FRP2024 bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan keperluan berbuka puasa dan persiapan hari raya, tetapi turut mensasarkan kerjasama dengan agensi dan pemain industri pelancongan yang ingin menjadikan Ramadan di Putrajaya sebagai ‘Muslim Friendly Tourism’,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini