KUALA LUMPUR: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian seorang pelanggan menampar petugas di cawangan Johor Bahru, yang menjadi tular di media sosial baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman, menjelaskan hasil siasatan mendapati suspek adalah pelanggan yang bertindak kasar selepas kenderaan perdagangan miliknya gagal ujian brek semasa Pemeriksaan Berkala.
Mahmood menegaskan, tindakan kekasaran terhadap petugas PUSPAKOM tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan. Beliau turut menjelaskan bahawa kegagalan pemeriksaan menunjukkan kenderaan tersebut tidak selamat untuk digunakan di jalan raya.
“Sepatutnya pelanggan yang menerima keputusan pemeriksaan seperti ini mengambil iktibar dan segera membaiki keadaan kenderaan demi keselamatan mereka sendiri dan pengguna jalan raya yang lain, bukan bertindak agresif menyerang pekerja kami,” katanya.
Dalam usaha mengelakkan kejadian serupa, Mahmood berkata PUSPAKOM kini mempertimbangkan langkah memperketat kawalan keselamatan di semua premisnya.
“Keselamatan di tempat kerja bagi warga Puspakom adalah keutamaan kami dan kami komited untuk menguatkuasakan dasar ini tanpa pengecualian.
“Kami tidak akan bertoleransi atas kelakuan sebegini dan akan bekerjasama dengan pihak polis untuk memastikan pelaku menerima hukuman yang setimpal,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.