KUALA LUMPUR: Orang ramai yang mempunyai rakaman papan pemuka atau maklumat mengenai keberadaan tayar lori yang tercabut hingga menyebabkan kemalangan maut di persimpangan tol Ayer Keroh diminta tampil.
Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) memohon bantuan dan kerjasama orang ramai untuk tampil menyerahkan kepada pihak berkuasa berhubung kemalangan maut di persimpangan tol Ayer Keroh, Kilometer (KM) 204, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Melaka pada 23 Disember tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, maklumat yang diperoleh dari orang ramai ini akan dapat menyempurnakan lagi siasatan punca insiden kemalangan berlaku.
“Saya merayu supaya sesiapa yang mempunyai rakaman dash cam (papan pemuka) sebelum, semasa dan selepas kemalangan terbabit, terutamanya rakaman ketika tayar itu dialihkan dari lokasi kemalangan, untuk tampil dan menyerahkan rakaman itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Bahan-bahan bukti ini amat penting untuk membantu siasatan agar keluarga mangsa dan orang ramai mendapat suatu kepastian dan titik noktah berhubung tragedi ini,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan laporan pemeriksaan awal Puspakom, ke atas lori berjenama Foton yang terbabit dalam kemalangan itu mendapati tayar yang hilang itu memiliki rim bersaiz 22.5 inci dengan anggaran berat sekitar 100 kilogram bersama tayar.
“Tayar itu dikatakan tercabut disebabkan kerosakan pada gandar kecil (stub axle) dan berada di tengah jalan semasa kejadian, seperti yang disahkan oleh pemandu lori yang terlibat dan saksi kejadian.
“Puspakom memuktamadkan laporan siasatan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu dan telah menyerahkannya kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), namun hanya merangkumi pemeriksaan kenderaan manakala tayar yang tercabut itu tidak dapat diperiksa kerana tidak dijumpai,” katanya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang keberadaan tayar itu boleh menghubungi pihak PDRM atau memaklumkan Puspakom di talian 03-5101 7000.
“Selain itu, Puspakom juga menegaskan bahawa penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi piawaian adalah satu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab yang memperjudikan bukan sahaja nyawa pemandu, bahkan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
“Dalam usaha kita untuk menjadikan jalan raya lebih selamat, pemilik kenderaan perdagangan juga perlu memastikan tayar yang digunakan adalah mematuhi piawaian ketahanan dan keselamatan seperti mana yang diperuntukkan oleh kerajaan.
“Penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi piawaian ini adalah sangat tidak bertanggungjawab sama sekali,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.