Tumpuan :
Nasional

PUSPAKOM harap individu ditahan bantu bongkar sindiket kawal pemeriksaan

 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) berharap penahanan lelaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantu membongkar sindiket yang didakwa mengawal sektor pemeriksaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata, pihaknya berbesar hati untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, PUSPAKOM amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasa bagi memastikan pihak yang tidak bertanggungjawab ini menerima tindakan undang-undang sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu SPRM menahan reman seorang individu disyaki membayar rasuah berjumlah ratusan ringgit kepada seorang anggota penguat kuasa sebagai balasan membantu meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di sekitar ibu negara.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 10 Januari ini dikeluarkan Majistret Joanne Tan Xin Ying selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan terbabit sekitar tahun lalu.

“Suspek juga disyaki membayar rasuah berjumlah ratusan ringgit kepada anggota penguat kuasa terbabit bagi setiap kenderaan yang diperiksa dan bergantung kepada jenis kenderaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini