Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyasarkan pusingan kerja membabitkan pegawai dan anggotanya yang telah berkhidmat bagi tempoh tiga hingga lima tahun, dapat dilaksanakan 100 peratus menjelang pertengahan tahun hadapan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata langkah itu tidak boleh dijalankan serentak kerana dikhuatiri akan menjejaskan operasi harian agensi itu.
Ujarnya, setakat ini seramai 65 peratus pegawai dan anggota JIM yang berkhidmat melebihi tempoh itu telah ditukarkan.
“Kita juga perlu ambil kira dari segi pengoperasian, kalau saya tukar semua sekali serentak, nanti kaunter kita akan terganggulah dan dari segi pengoperasian harian kita akan terganggu.
“Kita perlu ada perancangan supaya ianya ada pelapis dan sebagainya, sebab kalau kata tiba-tiba yang baru terus masuk bekerja, dengan tak ada pengalaman tak ada pengetahuan yang cukup dan sebagainya, nanti mungkin proses untuk menyelesaikan ataupun menguruskan kemasukan dan sebagainya, akan mengambil masa, jadi ini akan mengganggu,” katanya.
Jelas Zakaria, pelaksanaan pusingan kerja pegawai dan anggota ini dibuat akan diteruskan dari semasa ke semasa supaya mereka yang bertugas di kaunter-kaunter Imigresen itu tidak berkhidmat dalam satu tempoh yang lama.
Ini adalah bagi mengurangkan risiko-risiko salah guna kuasa, termasuk isu berkaitan ‘counter-setting’.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.