Tumpuan :
Nasional

Pusat simulasi bencana pertama di Malaysia siap Februari depan – Ahmad Maslan

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan (tengah) ketika melawat Projek Pembinaan Tapak Simulasi Bencana Bagi Pasukan SMART di Markas SMART Pulau Meranti hari ini.

PUCHONG: Projek pembinaan tapak khas simulasi bencana bagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Pulau Meranti, dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun depan.

Projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor itu sudah mencapai 99 peratus kemajuan dan bakal menjadi pusat simulasi bencana yang pertama di Malaysia serta kedua di rantau ASEAN selepas Singapura.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembinaan pusat simulasi bencana itu bertujuan meningkatkan kecekapan dan tahap profesionalisme anggota SMART dalam mendepani segala bentuk kemungkinan bencana yang berlaku.

“Apabila siap nanti, pusat ini bakal menjadi pusat simulasi bencana pertama di Malaysia dan yang kedua di rantau Asean selepas Singapura.

“Pusat ini membuat simulasi bencana supaya Malaysia sentiasa dalam keadaan bersedia sewaktu berhadapan dengan pelbagai situasi bencana dan kecemasan,” katanya selepas meninjau status kemajuan projek berkenaan di Markas SMART, Pulau Meranti, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JKR Selangor, Shukri Ishak dan Komander SMART Penguasa Kanan Bomba, Mohd Khairul Jamil.

Ahmad berkata, projek itu adalah milik Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Pusat simulasi ini akan memiliki keupayaan membuat simulasi pelbagai senario bencana yang akan menjadi asas kepada latihan yang komprehensif dan berdasarkan situasi sebenar bencana.

“Fasiliti dan teknologi yang akan melengkapkan pusat ini dijangka akan menyokong semua keperluan bagi memudahkan pasukan SMART mengekalkan pengiktirafan INSARAG (International Search and Rescue Advisory Group).

“INSARAG adalah satu badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) yang mengkoordinasikan rangkaian penyelamat antarabangsa berkenaan operasi bencana rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa modul latihan simulasi yang disediakan dalam projek itu termasuk modul kereta kabel (modul menyelamat kemalangan kereta kabel) dan modul hazmat (modul menyelamat di kawasan yang terdapat bahan-bahan berbahaya).

“Selain itu, terdapat juga modul menyelamat kemalangan keretapi bawah tanah, modul menyelamat bangunan runtuhan penuh, modul menyelamat bangunan runtuhan pelbagai, modul menyelamat bangunan separa runtuh serta modul menyelamat bangunan condong dan menara ‘abseiling’.

“Kami berharap momentum kerja yang sudah dicapai dikekalkan atau dipertingkatkan supaya projek ini dapat disiapkan tepat atau lebih awal dari jadual ditetapkan selain kekal menjamin mutu, kos dan rekod keselamatan di tapak pembinaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini