HULU SELANGOR: Sebuah pusat penyembelihan ayam di Kampung Sungai Damar, Kuala Kubu Bharu, di sini, diarah tutup selama 14 hari bermula semalam elepas gagal mematuhi piawaian kebersihan dan peraturan operasi.
Menurut Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), notis penutupan susulan siasatan di lokasi itu semalam berdasarkan aduan diterima.
“Pemeriksaan keseluruhan kawasan penyembelihan ayam tidak berada dalam keadaan yang bersih, efluen kumbahan masuk ke salur pembetung kumbahan dan mengalir ke anak sungai.
“Pemeriksaan juga mendapati bekalan ayam yang disembelih akan dihantar ke pasar awam Kuala Kubu Bharu dan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah daripada MPHS,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
MPHS berkata, pihaknya mengarahkan pemilik premis membuat permohonan lesen perniagaan yang sah.
Selain itu, pemilik juga perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Jabatan Alam Sekitar( JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi pengesahan kolam takungan dan buangan efluen supaya memenuhi piawaian ditetapkan.
“Notis Perintah Penutupan telah dikeluarkan di bawah peruntukan Seksyen 62 (1) UUK Establisymen Makanan MPHS 2007 kepada pusat penyembelihan terbabit selama 14 hari bermula semalam hingga 26 Disember ini.
“Jabatan Penguatkuasaan pula mengarahkan pemilik premis menghentikan operasi perniagaan serta merta sehingga mendapat pengesahan kelulusan dari MPHS,” katanya.
Menurutnya, tindakan tegas ini dapat memberi amaran kepada pemilik premis lain untuk memastikan kebersihan premis terjaga demi kesejahteraan pengguna.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.