comscore
Tumpuan :
Nasional

Pusat rawatan TH Makkah tangani isu kesihatan fizikal, spiritual

Oleh: Azri Mukhlas

MAKKAH: Pusat Rawatan Tabung Haji di Makkah yang beroperasi untuk memberikan khidmat kesihatan kepada 31,600 jemaah haji dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk merawat pesakit termasuklah aspek spiritual.

Pengarah Operasi Makkah (Perubatan), Dr Amin Sah Ahmad berkata, pusat rawatan bertaraf pakar minor yang dilengkapi peralatan canggih mempunyai 12 pakar antaranya respiratori, kecemasan, ortopedik, radiologi dan bius yang menepati keperluan jemaah haji.

Pusat perubatan dikenali sebagai Syisyah ini dilengkapi dengan wad yang mempunyai 194 katil, bilik kecemasan, wad isolasi, makmal perubatan, radiologi, klinik gigi dan ambulans.

Dr Amin Sah Ahmad.

Menurut Dr Amin, pusat rawatan Syisyah ini mempunyai kerjasama baik dengan pihak kesihatan Arab Saudi sekiranya pesakit memerlukan rawatan lanjut.

“Di sini kita akan cuba sebaik mungkin untuk jaga kebajikan jemaah haji dan berusaha supaya mereka kembali sihat agar dapat berwukuf nanti,” katanya pada sidang media di sini.

Selain rawatan kesihatan, Pusat Rawatan Syisyah ini juga menyediakan perkhidmatan rawatan spiritual atau kerohanian.

Pegawai Perubatan Spiritual, Dr Ahmad Fahmi Md Sahray berkata, pesakit yang dimasukkan ke wad memerlukan bantuan untuk memulihkan emosi mereka yang terganggu kerana jatuh sakit ketika berada di Tanah Suci.

Dr Ahmad Fahmi Md Sahray.

“Keadaan ini sangat penting kerana ada pesakit dalam wad yang bertanyakan kenapa Tuhan memilih mereka untuk sakit di Tanah Suci,” katanya kepada wartawan di sini.

Menurutnya perubatan kerohanian adalah pelengkap kepada perkhidmatan kesihatan dan telah diamalkan di negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Katanya, ini tahun kedua perkhidmatan ini ditawarkan kepada jemaah dan rawatan dilakukan melalui keberadaan di sisi pesakit ketika mereka memerlukan jawapan kepada setiap persoalan.

Loading...
Terkini