KLANG: Sebuah pusat rawatan ibu bersalin di Bandar Bukit Raja, di sini diserbu pihak berkuasa tempatan kelmarin kerana beroperasi tanpa lesen.
Serbuan dilakukan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) susulan aduan awam dan hasil risikan.
Pengarah Komunikasi Korporat MBDK, Norfiza Mahfiz berkata ketika tiba di lokasi didapati premis berkenaan iaitu sebuah rumah semi-D tiga tingkat sedang beroperasi dengan menjalankan aktiviti berkenaan.
Operasi bermula pada jam 12.45 tengah hari.
“Siasatan lanjut di lokasi mendapati premis itu beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah dari MBDK. Selain itu, ia adalah kediaman yang dijadikan premis perniagaan seterusnya menyebabkan kesesakan dan ketidakselesaan di kalangan penghuni setempat,” katanya.
Difahamkan semasa serbuan terdapat beberapa bayi dirawat di lokasi itu dan premis berkenaan dipercayai beroperasi sejak beberapa bulan lalu.
Beliau berkata, satu kompaun telah diserahkan kepada pekerja premis itu mengikut Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (Majlis Perbandaran Klang) 2013.
Norfiza berkata, ia adalah kesalahan serius kerana melibatkan bayi dan ibu yang melahirkan anak.
“Ia juga boleh mendatangkan risiko sekiranya berlaku kecuaian atau sebagainya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.