KUALA LUMPUR: Pasukan bomba mengambil masa hampir dua jam untuk memadamkan kebakaran sebuah pusat pengumpulan barang lusuh di Taman Sungai Besi di sini, malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kejadian 9.06 malam.
Komander Operasi Kanan Kamarulzaman Busirun berkata, empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak, Seputeh, Sungai Besi serta Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran membabitkan pusat pengumpulan barangan lusuh.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan semburan buih untuk mengelakkan api merebak lebih besar dan api berjaya dikawal pada 10.20 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamarulzaman berkata, api kemudian berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 10.55 malam dan premis dianggarkan musnah 100 peratus.
Beliau berkata, operasi pemadaman itu membabitkan kekuatan 72 pegawai dan anggota.
Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.