Tumpuan :
Nasional

Pusat Pengajian Bahasa Melayu UPSI di Uzbekistan johan pidato 3 tahun berturut-turut

TANJUNG MALIM: Peserta dari Pusat Antarabangsa Bahasa Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tashkent State University of Oriental Studies (TSUOS) menjuarai kategori antarabangsa Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2023 yang berlangsung semalam.

Pertandingan merebut Piala Perdana Menteri 2023 yang diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) itu dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pertandingan yang dianjurkan atas hasrat Menteri Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu bermatlamat ke arah pemerkasaan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa serta menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global.

“Akademia UPSI di bawah Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) berjaya membuktikan bahawa pelajar antarabangsa seperti di Uzbekistan meminati bahasa Melayu dan menguasainya dengan baik di pentas pidato yang berprestij itu,” katanya.

Beliau melahirkan kegembiraan atas kemenangan peserta kategori antarabangsa itu berikutan mendapat bimbingan seorang pensyarah Bahasa Melayu UPSI iaitu Dr Sabariah Sulaiman.

Dalam pertandingan itu Gulzoda Utkurova dinobatkan sebagai johan manakala Sarvinoz Akramova Abduvohid Qizi sebagai naib johan dan hadiah disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman.

Kedua-dua mereka sedang mengikuti Program Mobiliti Antarabangsa Inbound Tanpa Kredit UPSI- TSUOS bagi semester satu sesi 2023/2024.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin menganggap kejayaan itu membanggakan UPSI yang berjaya melatih dengan berkesan dan baik dua peserta berkenaan selama beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Dekan FBK, Prof Madya Dr Mazura @Mastura Muhammad turut gembira dengan pencapaian akademia FBK yang memberi komitmen yang tinggi di Uzbekistan untuk memberi latihan intensif sehingga persembahan mereka memukau juri persembahan.

“Usaha pengembangan Bahasa Melayu di Uzbekistan turut mendapat sokongan kuat dari pihak Kedutaan Besar Malaysia di Uzbekistan.

Katanya, kejayaan tiga tahun berturut-turut itu adalah hasil daripada strategi dan teknik yang digarap hasil pengamatan terhadap kekuatan dan kelemahan seseorang peserta.

Beliau berterima kasih kepada kedua-dua buah universiti yang sedia menerima jalinan kerjsama dengan UPSI khususnya dalam bidang berkaitan Bahasa Melayu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini