comscore
Tumpuan :
Nasional

Pusat operasi MCBA bakal diwujudkan di Kompleks ICQS Rantau Panjang

Kompleks ICQS Rantau Panjang adalah antara laluan utama bagi pelancong untuk masuk ke Kelantan. Gambar fail.

MACHANG: Pusat operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) akan diwujudkan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang bermula awal tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pusat MCBA akan menggunakan fasiliti dan kemudahan kompleks ICQS sedia ada.

Beliau berkata kompleks ICQS Rantau Panjang dipilih untuk pengoperasian MCBA yang pertama kerana ia mempunyai ciri tersendiri iaitu melibatkan pintu masuk darat selain udara dan laut.

“Selain itu, kementerian saya sedang melaksanakan proses pengambilalihan aset secara berperingkat kerana ada aset yang terikat dengan kontrak, sewaan serta mempunyai tempoh tertentu.

“MCBA adalah komponen yang menyatukan semua agensi sedia di sempadan seperti imigresen, kastam dan lain-lain agensi penguat kuasa,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung di Bukit Tiu, di sini, hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Ia turut dihadiri Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, Datuk Seri Hazani Ghazali.

Saifuddin Nasution berkata, MCBA sebagai komponen yang disatukan itu dapat memperkukuh kawalan sempadan negara pada masa hadapan.

Kementerian Dalam Negeri ketika ini sedang menyusun tenaga kerja untuk MCBA dengan mewujudkan 104 perjawatan awal yang telah diluluskan oleh kerajaan.

“Sebanyak 78 orang telah memenuhi perjawatan berkenaan dan buat masa ini jumlah itu akan dilengkapkan dalam masa tempoh terdekat.

“Kementerian saya telah membuat pembentangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam berhubung perjawatan MCBA yang diperlukan dan dijangkakan ada 13,000 perjawatan apabila agensi berkenaan beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata Malaysia ada 143 pintu masuk di seluruh negara dan perjawatan itu amat diperlukan termasuk lima pintu masuk yang dipilih untuk pengoperasian MCBA bermula tahun depan.

Empat pintu masuk lagi ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan KLIA 2, Kompleks ICQS Bangunan Sultan Iskandar, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor dan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 dilapor berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM560 juta untuk memperkasakan sempadan negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beberapa Kompleks ICQS akan dibina baharu selain menaik taraf kompleks berkenaan di Rantau Panjang dan Bukit Berapit.

Berikutan itu, dua pos sempadan baharu di Bantul dan Serudung, Sabah akan dibina dan badan penguat kuasa juga bakal dibekalkan dengan teknologi dron dan AI untuk meningkatkan capaian kawasan diawasi.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini