Tumpuan :
Nasional

Pusat Konservasi Tapir kedua akan dibuka di Negeri Sembilan pada 2027

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad. – FOTO: NSTP

SUBANG: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan Pusat Konservasi Tapir Kebangsaan pertama negara yang akan dibina di Taman Negeri, Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu Negeri Sembilan dijangka siap menjelang 2027.

Ujarnya, pusat konservasi itu sebagai salah satu langkah kerajaan dalam memastikan spesis haiwan terancam Tapir dapat dipelihara daripada pupus.

“Kita telah pun ada pusat konservasi sedia ada untuk tapir di Sg Dusun di Selangor dan kita akan buat satu lagi di Negeri Sembilan menjelang tahun 2027 sebagaimana disebut tadi antara masalah besar Tapir disebabkan kehilangan habitat dan kadar pembiakan agak rendah.

“Tempoh matang bunting seekor ibu Tapir mencapai 13 hingga 14 bulan. Biasanya yang lahir hanya seekor, jadi itu antara ancaman kepada spesis haiwan ini,” jelasnya.

Tambah Nik Nazmi, ancaman utama Tapir adalah manusia dan penebangan hutan yang menyebabkan kehilangan habitatnya.

“Kita anggarkan dalam negara kita 1,300 hingga 1,400 ekor Tapir Malaya, yang terbanyak berbanding beberapa negara seperti Myanmar, Thailand dan Indonesia.

“Bilangan kematian Tapir pada tahun 2020 hingga Mac 2024 sebanyak 112 ekor Tapir yang mati dilanggar kenderaan, itu ancaman terbesar Tapir. Langkah terbaik boleh kita ada tentulah paling baik ktia tidak sentuh habitat tapir dan tidak ganggu gugat hutan yang ada,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun ujarnya, terdapat situasi yang tidak dapat dielakkan atas faktor infrastruktur dan sebagainya.

Justeru itu, pelaksanaan Ecological Fiscal Transfer (EFT) pada setiap projek pembinaan menjadi keutamaan apabila melibatkan kawasan hidupan liar seperti Tapir.

“Sebab itu, lintasan hidupan liar satu perkara sangat penting untuk kita berdepan situasi tersebut. Kita dah ada di Terengganu, Perak itu antara langkah kita tengok seperti di Rawang Bypass (Selangor) juga antara contoh membolehkan hidupan liar melintasi lebuhraya tersebut,”katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan The Forgotten Stripes: Tapir Launch & Exhibition di INTI International College di sini hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini