Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
CYBERJAYA: Setelah genap setahun 11 hari, penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) direalisasikan sekaligus menjadi sejarah dalam perkhidmatan kesihatan mental negara.
NCEMH yang bertempat di Aras 6, Bangunan Quill-18, Cyberjaya itu menumpukan kepada penyelidikan, intervensi dan penyelarasan dalam kalangan semua pemegang taruh yang terlibat dalam kesihatan mental, selain bertanggungjawab dari aspek latihan terutama membabitkan kaunselor, komuniti serta pesakit kesihatan mental.
Majlis perasmiannya disempurnakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Khairy dalam ucapannya berkata, pusat berkenaan memainkan peranan sokongan terhadap perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental di hospital, klinik kesihatan serta pusat kesihatan mental masyarakat (MENTARI).
Ia juga akan merapatkan jurang perkhidmatan selari hasrat Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mempertingkatkan akses masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan mental.
“Pusat Kecemerlangan ini akan menjadi pusat rujukan setempat dan latihan termasuk proses akreditasi dan ‘credentialing’ program kesihatan mental. NCEMH juga akan menjadi platform untuk mempertingkatkan kolaborasi strategik dengan agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam merancang dan melaksanakan aktiviti promosi dan pencegahan, terutamanya dari segi aspek sosial dan rehabilitasi untuk kumpulan sasar,” katanya.
Hasrat penubuhan NCEMH diumumkan Khairy pada 10 Oktober tahun lalu bersempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2021 melihat keperluan mendesak berikutan isu kesihatan mental yang serius di negara ini.
Katanya, situasi di Malaysia amat membimbangkan apabila berlaku peningkatan ketara kes bunuh diri sebanyak 81 peratus pada tahun 2021 (1,142 kes) berbanding 631 kes yang dilaporkan pada tahun 2020.
Mengulas lanjut, beliau berkata, NCEMH akan menjadi platform untuk NGO berkolaborasi secara rapat bersama KKM dan NGO lain dalam merancang pelaksanaan program advokasi dan pencegahan.
Terdapat lima skop utama di bawah pusat kecemerlangan itu yang akan berfungsi sebagai pusat kawalan dan koordinasi perkhidmatan kesihatan mental melibatkan perkongsian pintar agensi awam, swasta dan pertubuhan badan bukan kerajaan.
Satu daripada skop utama itu adalah intervensi dan Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental, (Talian HEAL 15555) iaitu nilai tambah kepada perkhidmatan sokongan psikososial sedia ada.
Talian HEAL 15555 kendalian NCEMH mula beroperasi hari ini dalam usaha menggalakkan individu yang berdepan masalah kesihatan mental untuk tampil mendapatkan bantuan awal bagi mencegah lebih serius.
“Penubuhan NCEMH akan dapat meminimumkan jurang perkhidmatan dan mempertingkatkan perkongsian sumber kepakaran kesihatan mental melalui gabungan pakar melalui pendekatan bio-psikososial serta aspek spiritual.
“Pengoperasiannya melibatkan seramai 54 anggota terdiri daripada pelbagai profesion. Untuk peringkat permulaan, ia akan beroperasi dengan jumlah kapasiti sedia ada melibatkan 30 anggota yang akan menjalankan skop perkhidmatan di bawah NCEMH,” katanya.
Beliau berkata, satu hab pangkalan data kesihatan mental melalui platform digital akan diwujudkan NCEMH bagi memperkukuhkan aktiviti survelan kesihatan mental.
Dalam pada itu, katanya, fungsi berkaitan kesihatan mental yang terdapat di dalam aplikasi MySejahtera akan ditambah baik.
Ia bagi membolehkan pengguna membuat janji temu di fasiliti kesihatan primer atau fasiliti NGO bagi permasalahan kesihatan mental yang dihadapi.
“Perkara ini sedang dirangka dan diperhalusi untuk dilaksanakan dalam waktu yang terdekat,” katanya.