JOHOR BAHRU: Ranhill SAJ mengorak langkah ke hadapan dengan mewujudkan Pusat Kawalan Operasi atau Command Centre bagi pemantauan keseluruhan operasi pembekalan air terawat kepada kira-kira 1.26 juta pengguna air di negeri Johor.
Pusat Kawalan yang telah dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Bin Nik Ahmad semalam itu merupakan pusat kawalan yang bertanggungjawab menyelia keseluruhan operasi pembekalan air di negeri Johor merangkumi fasa pengeluaran, sistem agihan, sistem penggera, kawalan Air Tidak Berhasil atau Non Revenue Water (NRW) dan yang berkaitan.
Selain bertindak sebagai unit tindak balas terhadap ketidakstabilan sistem bekalan air bagi meminimakan risiko gangguan bekalan air kepada pengguna, penubuhan Ranhill SAJ Command Centre diharapkan dapat menyeragamkan sistem pengumpulan data pengoperasian bekalan air terawat disamping memantau keadaan semasa pembekalan air berdasarkan real time monitoring.
Penubuhan pusat kawalan ini juga selaras dengan komitmen berterusan Ranhill SAJ dalam memastikan kualiti perkhidmatan air berkelas dunia kepada pengguna akan terus direalisasikan bagi membolehkan Ranhill SAJ kekal berada pada tahap terbaik dalam menghadapi variasi cabaran akan datang.
Penubuhannya juga dikatakan seiring dengan kepesatan perkembangan teknologi melibatkan industri bekalan air bakal dilihat sebagai rujukan yang baik sekaligus menjadi titik mula serta rujukan kepada operator air di negeri lain menyusun atur semula inisiatif atau kaedah berkesan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam pembekalan air bersih terawat kepada pengguna.