| Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
SERDANG: Pusat Kardiologi pertama negara, Pusat Kardiologi, Hospital Serdang, Selangor bakal beroperasi pada 12 Disember 2022.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata Pusat Kardiologi itu sekaligus menjadi yang pertama dan terbesar seumpamanya di asia tenggara.
“Pusat Kardiologi ini telah ditubuhkan bagi mempercepatkan penerimaan rawatan oleh pesakit dan dijangka dapat mengurangkan masa menunggu rawatan angiogram daripada 18 bulan kepada 9 bulan untuk kes-kes elektif yang stabil.”
“Namun, kes kecemasan akan tetap diberikan rawatan serta merta.” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Pusat Kardiologi, Hospital Serdang di sini, siang tadi.
Tambahnya, dengan adanya bangunan baru ini, perkhidmatan jantung Hospital Serdang mampu menerima pesakit dua kali ganda berbanding bilangan pesakit sedia ada.
“Hospital Serdang adalah hospital pakar major yang merupakan pusat rujukan rawatan jantung bagi Wilayah Tengah dan pusat rujukan bagi kes-kes jantung kompleks dari seluruh negara (National Tertiary Cardiac Referral Centre).”
“Perkhidmatan jantung Hospital Serdang merupakan perkhidmatan yang paling sibuk dengan beban kerja paling tinggi di antara semua 10 fasiliti perkhidmatan jantung di KKM dengan lebih 40,000 pesakit luar setahun dan lebih 12,000 rawatan invasif setahun termasuk angiogram dan angioplasti koronari.”
Pusat Kardiologi ini dibina dengan kos keseluruhan sebanyak RM546 juta, di mana RM311 juta adalah kos pembinaan bangunan dan RM235 juta bagi perolehan peralatan.
Pusat ini dibina dengan satu blok kardiologi setinggi lapan tingkat yang menempatkan 262 buah katil serta satu blok tempat letak kereta setinggi sembilan tingkat.
Pusat Jantung Serdang katanya, turut dilengkapi dengan peralatan serba canggih seperti makmal Jantung Invasif (ICL) di Jabatan Kecemasan (ED) Yang Pertama di Malaysia.
Makmal ini membolehkan kes-kes serangan jantung acute menerima rawatan segera dan terbaik iaitu Intervensi Primary Percutaneous Coronary Intervention (PCI).
“Intervensi Primary PCI ini dapat meningkatkan survival rate pesakit akibat serangan jantung sebanyak 99%.”