Tumpuan :
Nasional

Pusat hiburan tak serik diserbu lagi

Sebuah premis hiburan diserbu MPHS kerana beroperasi tanpa lesen. FOTO: Ihsan MPHS

HULU SELANGOR: Sebuah pusat hiburan beroperasi tanpa lesen diserbu pihak berkuasa tempatan dalam operasi di Jalan Orkid 2A, Bukit Sentosa, di sini, kelmarin.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dalam kenyataan berkata, pusat hiburan sama sudah digempur pihaknya pada 13 November lalu kerana beroperasi tanpa lesen.

“Tindakan ini diambil selepas pemilik premis didapati masih berdegil menjalankan perniagaan tanpa lesen, walaupun sitaan dilaksanakan pada 13 November.

“Ketika operasi dijalankan,beberapa pelanggan dilihat keluar dari premis terbabit dan didapati terdapat dua lelaki dan seorang wanita sedang menguruskan kaunter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan mempunyai meja khas dilengkapi peranti tablet seperti premis pusat siber berlesen.

Katanya, pasukan serbuan menyita pelbagai barangan antaranya sejumlah tablet, pengecas, monitor, dan modem.

“Tindakan Sitaan Operasi ini dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor (1995), kerana menjalankan aktiviti hiburan (permainan video) tanpa kebenaran MPHS.

“MPHS komited untuk meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.

“Orang awam yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan boleh berhubung melalui pautan mphs.spab.gov.my,”katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini