Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pusat hiburan KTV mewah diserbu, 106 GRO ditahan, diperiksa

 

 

KUALA LUMPUR: Polis menahan 84 wanita warga asing yang bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) hasil serbuan ke atas sebuah pusat hiburan jenis KTV di Bukit Bintang, ibu negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pemeriksaan turut dilakukan terhadap 22 GRO warga tempatan, 46 pekerja dan 336 pelanggan.

Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan serbuan dilakukan jam 1.10 pagi Ahad lalu oleh Unit Pencegahan Maksiat, Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Siasatan awal mendapat pusat hiburan berkenaan menyediakan 17 bilik karaoke mengikut bayaran bermula dari RM3,800 hingga RM25,000.

Premis ini beroperasi dari jam 8 malam hingga 6 pagi setiap hari dan tidak mempunyai sebarang lesen yang sah serta menyalahgunakan lesen restoran/kedai makan yang dikeluarkan pihak DBKL.

Khidmat GRO warga asing dan tempatan disediakan mengikut permintaan pelanggan dengan kadar bayaran yang ditetapkan.

Polis turut menahan 9 warga tempatan membabitkan pengurus premis, penjaga kaunter dan pekerja di pusat hiburan itu yang berusia antara 31 hingga 45  tahun.

Manakala GRO yang ditahan berusia antara 18 hingga 46 tahun.

Saringan air kencing juga mendapati 6 orang pelanggan positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Turut dirampas dalam serbuan itu, antaranya resit jualan, resit pekerja GRO, minuman keras, sebuah telefon bimbit, dua unit perakam video, pembesar suara dan wang tunai lebih RM13,000.

Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

PDRM menasihatkan semua pengusaha pusat hiburan agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh penguatkuasa sekiranya hendak menjalankan perniagaan berbentuk hiburan.

Loading...
Terkini