KUALA LUMPUR: Pusat data bakal dibangunkan pada suku ketiga 2025 di Bagan Datuk, Perak, akan menyediakan infrastruktur kritikal untuk menyokong operasi perniagaan moden, membuka peluang dalam sektor perkhidmatan
kewangan, perdagangan elektronik, dan industri teknologi tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata projek yang dijangka siap dalam tempoh 10 tahun itu, akan mewujudkan peluang pekerjaan merangkumi pelbagai bidang termasuk teknikal, pembinaan dan pengurusan.
“Fasiliti bertaraf antarabangsa ini juga berpotensi menarik pelaburan asing, khususnya syarikat multinasional, yang akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi serantau.
“Kita mesti memanfaatkan peluang ini dengan melahirkan tenaga kerja mahir dalam kalangan warga tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara MARA Incorporated Sdn. Bhd. bersama Felcra Berhad dan Privabytes Sdn. Bhd di sini, hari ini.
Katanya ia selari dengan jangkaan RHB Research lpada Oktober lepas, bahawa Malaysia bakal muncul sebagai hab pusat data terbesar di rantau ASEAN, dengan inventori diunjurkan mencapai 4 gigawatt (GW) dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Kerjasama ini bertujuan pembangunan Pusat Data Tier IV berkapasiti 10MW di tanah berkeluasan 20.2 hektar yang dimiliki oleh FELCRA Berhad bertempat di Daerah Bagan Datuk, Perak.
Projek ini akan dibangunkan oleh PRIVASIA Technology Berhad menerusi anak syarikat PRIVABYTES Sdn Bhd yang akan membuka ruang untuk inovasi dalam sektor teknologi.
Ia akan menjadi satu langkah penting dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat teknologi digital utama di Asia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.