ROMPIN: Kewujudan pusat bersalin di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman, di sini, adalah hasil cetusan idea dan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus, pada taklimat beliau sempena lawatan kerja Seri Paduka ke Pulau Tioman, hari ini, yang turut membabitkan kunjungan ke klinik kesihatan itu.
Turut berangkat, anakanda Seri Paduka iaitu Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Seri Paduka menitahkan pusat bersalin di wujudkan di pulau itu selepas baginda pada Mac lalu dimaklumkan, semua kelahiran anak penduduk berlaku di luar pulau.
“Seri Paduka menitahkan pusat bersalin diwujudkan bagi memudahkan penduduk Pulau Tioman untuk bersalin di sini dan tidak perlu bersusah payah ke Rompin atau Mersing di Johor,” katanya.
Pusat bersalin itu dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
MUIP secara keseluruhannya menyumbangkan RM2.92 juta untuk Klinik Kesihatan Tekek, dengan RM2.37 juta adalah bagi aset dan RM545,000 adalah peruntukan naik taraf bangunan klinik, yang sudah beroperasi sejak 2003.
Buat masa ini, klinik itu dilengkapi 38 kakitangan pelbagai jawatan, selain turut mengelola tiga klinik desa iaitu di Juara, Genting dan Mukut, semuanya di Pulau Tioman.
Tahun lalu, klinik itu menerima kedatangan 4,580 pesakit, dengan 35 peratus daripadanya adalah pelancong. Selain perkhidmatan pesakit luar, kecemasan dan kesihatan ibu dan anak, Klinik Kesihatan Tekek turut menyediakan perkhidmatan pergigian bermula Oktober lalu.
Dr Nor Azimi berkata, semua fasiliti kesihatan di pulau itu dilengkapi talian Internet jalur lebar MyGovNet, selain KKM meluluskan pemasangan jalur lebar lebih stabil yang membolehkan konsultasi sidang video dilakukan bersama pakar, selain sistem pengurusan pesakit dilakukan secara ‘paperless’.
Pada lawatan kerja itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menyempurnakan penyerahan ambulans pacuan empat roda sumbangan MUIP, selain menyantuni tiga ibu mengandung yang bakal menjadi pesakit terawal di pusat bersalin itu.
Baginda juga berkenan mendengar taklimat perancangan pembinaan masjid utama Pulau Tioman di tapak masjid sedia ada di Kampung Tekek, yang dapat memuatkan 761 jemaah, selain turut membabitkan pembinaan kuarters kakitangan.
Seri Paduka juga berkenan mengurniakan sumbangan kepada 41 penerima, terdiri daripada penduduk Pulau Tioman sebelum mencemar duli berangkat ke Jamuan Rakyat di sebuah pusat peranginan, di sini.
Turut serta, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan pentadbiran negeri Pahang. – BERNAMA