KODIANG: 10 buah rumah berhampiran Kampung Pida 2, Manggol Bongor, di sini petang tadi rosak teruk akibat kejadian pusaran angin dipercayai belalai air.
Seorang pengusaha bengkel membaiki barangan lori yang melihat kejadian itu memberitahu kejadian telah menerbangkan bumbung rumah penduduk.
Marwan Kassim, 40, berkata, ini kejadian pertama yang dia pernah dilihatnya apabila angin berpusing seperti itu depan matanya kerana sebelum ini dia hanya menontonnya di televisyen sahaja.
Katanya lagi, dia sempat merakam video kejadian itu sebelum pusaran angin itu menghala ke arah bengkel miliknya kira-kira jam 3.45 petang tadi.
Katanya, pusaran angin itu kemudian menerbangkan bumbung bengkel yang menyimpan barangan membaiki lori.
“Habis semua barangan dalam bengkel ini rosak termasuk peti sejuk, mesin basuh serta beberapa barangan lain,” katanya.
Jelas Marwan, dia menyaksikan kejadian itu sendiri depan mata namun bersyukur kerana rumahnya terselamat dalam kejadian itu.
Namun katanya, rumah penduduk berhampiran kawasan itu yang dianggarkan kira-kira 10 buah rumah rosak apabila bumbung rumah diterbangkan angin yang berterbangan mengikut pusaran angin kuat itu.
“Ketika semua bumbung serta beberapa objek berpusing tu memang nampak ‘real’ dan sangat kuat. Mujur tiada yang cedera dalam kejadian itu.
“Saya kerugian kira-kira RM40,000 apabila sebahagian dalam bengkel itu musnah dan bumbung diterbangkan angin,” katanya.
10 buah rumah berhampiran Kampung Pida 2, Manggol Bongor, petang tadi rosak teruk akibat kejadian pusaran angin dipercayai belalai air.
Sumber: Video tular pic.twitter.com/nqCKOxdkrw
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) October 29, 2023
Marwan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 10 minit yang turut disertai hujan lebat.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) negeri Khalil Abd Aziz berkata, corak cuaca yang berlaku sewaktu tempoh Peralihan Monsun menyebabkan ribut dan puting beliung kecil.
Beliau berkata fenomena seumpama itu boleh berlaku semula dalam Tempoh Peralihan Monsun yang berterusan dari September hingga November.
“Kemungkinan ini berlaku disebabkan oleh corak cuaca masa perubahan monsun menyebabkan langit cerah pada waktu pagi, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang pada waktu petang hingga malam.
“Juga boleh berlaku kejadian angin puting beliung, belalai air atau belalai darat serta hujan batu,” katanya.